Sunday, September 21, 2014

Kepentingan Mengambil Makanan Bernutrisi

Kita semua memang suka makan. Hari-hari kita akan makan. Tapi adakah makanan anda itu adalah apa yang diperlukan oleh badan anda atau hanya untuk menghilangkan rasa lapar anda? Pernahkah anda terfikir bagaimana setiap makanan yang kita ambil akan mempengaruhi keseluruhan badan kita? Yang lebih penting, adakah anda tahu apa sebenarnya yang ada di dalam makanan anda?

Kita mestilah mempunyai kesedaran untuk menjaga apa yang masuk dalam badan kita. Jangan nak diet atau dah sakit, barulah nak sedar yang tabiat permakanan kita sebenarnya adalah tidak sihat.

Apa itu makanan bernutrisi? (sumber dari encik Google dan Wikipedia)


Secara dasarnya, makanan bernutrisi adalah makanan yang lengkap dengan semua nutrisi yang diperlukan oleh badan seperti semua vitamin (A, D, E, K dll), mineral (kalsium, zat besi, dll), seimbang dengan keperluan protein, karbohidrat dan lemak.

Apakah kepentingan Makanan Bernutrisi?

1.  Pengurusan Berat Badan

Anda nak hilangkan berat badan? Mulakan dengan mengawasi apa yang anda masukkan ke dalam mulut anda. Gantikan makanan tinggi kalori atau tinggi lemak anda dengan makanan yang lebih banyak sayur-sayuran, protein dan karbohidrat. Mulakan secara perlahan-lahan dan anda akan dapat menjadikannya sebagai tabiat anda. Lebihkan salad dan tomato semasa makan nasi ayam. Jadikan buah-buahan sebagai snek anda sebagai pengganti keropok. Nutrisi di dalam sayuran dan buah-buahan akan membuatkan anda rasa kenyang lebih lama.

2.  Pengawalan Gula Dalam Darah
Kita mungkin tidak sedar dengan jumlah gula dalam makanan kita. Makanan tinggi gula seperti roti putih, atau jus buah-buahan dalam kotak, akan menyumbang kepada punca penyakit Diabetis Tahap 2. Anda boleh cuba membuat sendiri jus buah anda di rumah. Bukan sahaja anda boleh mengawal jumlah gulanya, malah anda juga boleh berjimat.

3.  Kesihatan Jantung
Makanan tinggi kolestrol seperti makanan yang bergoreng boleh membentuk plak di dalam saluran arteri anda dan ini akan menyumbang kepada strok dan serangan sakit jantung. 

4.  Mengurangkan Risiko Kanser
Sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi banyak antioksida yang membantu untuk meneutralkan sel-sel yang rosak dalam badan (radikal-radikal bebas yang tidak stabil dan menyebabkan sel kanser bertambah).

Jadi, mula tukar tabiat permakanan anda sekarang. Fikirkan setiap masa apa nutrisi di dalam makanan yang anda bakal ambil dan apa kebaikannya kepada badan anda. Ambil langkah perlahan-lahan jika anda susah untuk melakukannya. Yang penting, anda telah berusaha untuk mengubah kehidupan anda ke arah yang lebih baik.

Sekian.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...